
Antara yang hadir turut memegang bendera dan poster Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei sebagai tanda solidariti – Foto SEJAGAT
KUALA LUMPUR: 12 pertubuhan Pro Palestin menghantar memorandum sokongan ke atas Republik Islam Iran di sini hari ini.
Tindakan tersebut dibuat susulan intimidasi yang dilakukan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump susulan ketegangan antara kedua-dua negara sejak minggu lalu.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat, Syed Sheikh Al-Attas Syed Hassan menegaskan memorandum itu tidak bertujuan untuk mencampuri urusan dalaman Iran sebaliknya negara itu mempunyai titik persamaan dengan Malaysia dalam menyatakan sokongan terhadap Palestin.
“Kebersamaan kita ini akan kita terus pertingkatkan khususnya di antara Iran dan Malaysia, bahkan akan menjadi satu simbol kekuatan bagi perjuangan membebaskan Palestin,” katanya semasa ditemui pemberita di sini hari ini.

“Kebersamaan kita ini akan kita terus dipertingkatkan khususnya di antara Iran dan Malaysia,” kata Syed Sheikh Al-Attas. – Foto SEJAGAT
Mereka juga berpendapat tindakan Trump ke atas Iran telah melanggar prinsip asas Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), undang-undang antarabangsa dan kedaulatan sesebuah negara.
Manakala Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berpandangan kenyataan Trump menyokong rusuhan pada 8 dan 9 Januari lalu yang telah bertindak ganas di bandar-bandar besar di Iran adalah keterlaluan.
“Tindakan itu bukanlah demonstrasi tetapi sebenarnya rusuhan yang ditaja oleh Amerika yang mengulangi seruan supaya perubahan ke atas pemerintah Iran.
“Ternyata mereka membiayai rusuhan itu yang menyebabkan ramai rakyat terkorban termasuk anggota keselamatan,” kata Mohd Azmi.

“Kami bersimpati ke atas mangsa yang terperangkap dalam kejadian rusuhan pada minggu lalu,” kata Mohd Azmi. – Foto SEJAGAT
Untuk rekod, pada 28 Disember tahun lalu sekumpulan persatuan peniaga Iran telah berhimpun secara aman menyatakan bantahan terhadap kejatuhan nilai mata wang Iran akibat sekatan ekonomi yang semakin diperketat oleh Amerika.
Namun pihak berkuasa Iran mendakwa himpunan tersebut didalangi oleh ejen asing yang menghasut dan menyokong tindakan ganas segelintir perusuh, termasuk pembakaran bangunan kerajaan, masjid serta al-Quran.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi selepas solat Jumaat pada tengah hari tadi.
Antara yang terkandung dalam memorandum adalah gesaan negara-negara berdaulat menolak kempen rampasan kuasa ke atas kerajaan yang sah, menyeru PBB bersikap neutral, memohon agar gerakan sivil menolak propaganda dan naratif perang yang disalurkan melalui agensi pro Amerika.
Penyokong NGO yang hadir turut memegang bendera dan poster Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei sebagai tanda solidariti.
Pada masa sama, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berkawal untuk menjaga keselamatan ahli-ahli NGO.
Kredit: Astro Awani