6 April 2023 / 15 Ramadan 1444H
SEJAGAT : SEKALI LAGI REJIM HARAM ZIONIS ISRAEL BIADAB DI BULAN SUCI RAMADHAN
Terpanggil dengan isu terkini Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (SEJAGAT) mengutuk sekeras-kerasnya sikap brutal dan tanpa peri kemanusiaan yang dilakukan tentera rejim haram Israel di dalam Masjidil Aqsa baru-baru ini.
Merujuk kepada laporan pencerobohan oleh rejim Zionis pada 5hb April 2023 (Rabu) yang mengakibatkan kecederaan parah kepada 7 orang, selain ratusan yang lain cedera ringan ketika sedang beriktikaf di masjid tersebut di saat umat Islam seluruh dunia menghidupkan bulan Ramadhan.
Dilaporkan bahawa 400 umat Islam Palestin ditangkap dalam insiden kali ini yang menyebabkan kerosakan teruk kepada beberapa fasiliti utama masjid itu.
SEJAGAT mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim haram zionis yang turut bertindak kejam memukul para jemaah menggunakan belantan dan senapang hingga menyebabkan kecederaan dan sesak nafas di kalangan mereka termasuk orang tua.
Saksi turut menyatakan bahawa polis dan tentera zionis Israel menggunakan kekerasan yang berlebihan apabila mereka melempar bom tangan dan gas pemedih mata ke arah para jemaah yang sedang menunaikan solat dan bertadarus Al-Quran.
SEJAGAT menegaskan tindakan ini sebagai perbuatan biadab kerana ia dilakukan ke
atas umat Islam yang sedang beribadah sempena dengan bulan Ramadan yang mulia ini, yang terang-terangan tidak menghadirkan sebarang ancaman keselamatan.
Justeru kekejaman ini merupakan jenayah terhadap kemanusiaan kerana
membabitkan masyarakat awam termasuk wanita serta kanak-kanak sepertimana
dilaporkan media antarabangsa. Maka atas nama keadilan yang hakiki SEJAGAT menggesa masyarakat yang peduli khususnya umat Islam di Malaysia untuk bersolidariti dengan rakyat Palestin yang tertindas sejak sekian lama. Kekejaman ini harus dihentikan. Menolak segala bentuk sentimen kepuakan, kepartian, ras bangsa, agama dan mazhab adalah satu-satunya solusi bagi menyatukan kekuatan guna menghapuskan kejahatan entiti rejim zionis ini. Ketahuilah negara haram Israel tidak lain dan tidak bukan hanyalah sebagai sebuah pusat pengkalan keganasan dan kerosakan seluruh dunia.
SEJAGAT juga menuntut kepada para ulama’ tanpa terkecuali untuk bangkit secara konsisten bersuara di pentas apapun sekaitan isu dan nasib umat Islam khususnya di Palestin. Kami juga menuntut kepada pihak kerajaan agar segera menggesa badan DUNIA seperti OIC dan melobi negara-negara Islam agar segera mengenakan tekanan politik dan ekonomi sehingga kekejaman seperti ini dihentikan serta merta.
Syed Sheikh Alattas
Presiden, Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (SEJAGAT)