Skip to content

AMANAT SEJAGAT : PRU15 & PENTAS RAKYAT MALAYSIA DIUJI

  • by

Gendang telah dipalu, sekali lagi hari penentuan masa depan negara hanya dipisahkan kurang dari 48 jam sahaja lagi. Ada yang menyebutnya sebagai “ibu” segala pilihan raya. Sekali lagi rakyat Malaysia akan diuji tahap kebijaksanaan mereka serta sejauh mana kepedulian mereka terhadap politik tanahair.

Pilihan raya kali ini akan menyaksikan bahawa buat pertama kali anak-anak muda berumur 18 tahun akan dinilai oleh sebahagian para politikus samada generasi baru ini adalah generasi yang boleh “digula-gulakan” atau sebaliknya. Perasan calon-calon ahli parlimen yang bertanding saat ini bercampur baur antara yakin, berharap, takut dan pasrah terhadap apa yang bakal berlaku pada 19 November ini, apakah rakyat “favor” kepada mereka atau sebaliknya.

Bagi rakyat Malaysia, pertama-tamanya mereka harus tahu bahawa kenapa pilihan raya ini penting untuk mereka berpartisipasi. Terdapat 2 faktor utama menurut kami dalam melihat kenapa rakyat Malaysia harus peka dan menentukan sikap di peti undi setiap kali tibanya pilihan raya ;

Pertama, ini kerana seluruh rakyat Malaysia tanpa terkecuali tidak terlepas dari membayar cukai dalam urusan kehidupan seharian samada mereka sedar ataupun tidak. Tahukah bahawa wang cukai yang dibayar oleh rakyat ini diurus oleh siapa? Tidak lain dan tidak bukan bahawa pengurusnya adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat itu sendiri. Maka rakyat perlu tahu, cakna dan bijak mengunakan kuasanya bagi memilih “pengurus” kepada setiap wang cukai yang dibayar oleh mereka untuk diurus dengan penuh integriti dan amanah. Pengurus wang- wang cukai rakyat itulah yang disebut sebagai kerajaan yang diterajui ahli-ahli politik yang dipilih oleh rakyat sendiri.

Kedua, setiap rakyat Malaysia harus terus menanamkan di dalam jiwa mereka yang dalam perasaan cinta kepada negara dan ibu pertiwi. Jiwa yang mahu melihat negaranya yang tercinta ditadbir dengan cemerlang, gemilang dan terbilang. Nah! semangat inilah yang perlu diterjemahkan, salah satu jalan untuk menterjemahkan rasa cinta, kesedaran dan tanggungjawab terhadap tanah airnya adalah di peti-peti undi pada setiap kali pilihan raya diadakan. Dalam erti kata yang lain, bagi sesebuah negara yang demokratik maka rakyat adalah “penguasa” yang sebenar dalam menentukan siapa yang “layak” untuk menjadi pengurus bagi menjalankan tata kelola pemerintah yang baik untuk rakyat dan negara.

Justeru itu, kami dari Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (SEJAGAT) dengan penuh keinsafan dan rendah hati melihat bahawa rakyat Malaysia dalam berhadapan dengan pilihan raya umum yang ke 15 ini perlu memerhatikan dengan teliti beberapa tolak ukur di bawah ini sebelum membuat keputusan membuang undi pada hari Sabtu, 19 November 2022.

1. Mengenal pasti dengan teliti dan penilaian tanpa sentimen serta berbekalkan kebijaksanaan dan “political will” yang benar bahawa yang manakah calon atau parti politik yang memiliki “track record” latar belakang yang meyakinkan dengan memiliki nilai-nilai integriti yang tinggi, anti rasuah, bersih, amanah, berjiwa rakyat serta jujur dalam menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara.

2. Dalam kondisi ketika ada yang keliru dalam menentukan pilihan dikeranakan setiap calon atau parti memiliki kelemahan tersendiri, maka utamakan dalam memilih mudharat yang lebih kecil berbanding mudharat yang lebih besar kerana apapun sesebuah negara tetap memerlukan pentadbir kerajaan untuk mentadbir harta negara dengan baik serta kasih kepada rakyat.

3. Memilih parti yang kelihatan mampu memimpin tanah air dengan semangat patriotisme yang tinggi iaitu tidak sesekali menjual kedaulatan tanah air dan kepentingan negara kepada pihak asing di luar serta menjadi boneka dan alat yang mudah dibeli oleh musuh agama dan negara.

Selamat mengundi, semoga negara tercinta ini dijaga oleh Allah swt dengan memenangkan mereka yang jujur, kasih dan amanah kepada rakyat dan negara.

Yang berkhidmat

Syed Sheikh Alattas
Presiden, Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia

18 November 2022

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *